Tempat menarik Teluk Intan

Menara Jam Condong Teluk Intan

Menara Jam Condong Teluk Intan

Menara ini menjadi titik tumpu kepada bandar Teluk Intan. Keunikan menara ini ialah kecondongannya seperti Menara Pisa di Itali. Menara condong ini dibina pada tahun 1885 oleh Leong Choon Choong. Menara ini setinggi 85 kaki dan mempunyai 110 anak tangga.

Ia merupakan takungan air sebelum adanya Tangki Air Changkat Jong. Bangunan ini 3 tingkat dilengkapi dengan jam besar dan mengikut seni bina menara-menara di China. Kini, menara ini tidak digunakan lagi. Di bahagian bawahnya telah dihiasi dengan lanskap yang indah seperti pasu bunga, lantai marmar dan kerusi rehat untuk bersantai seisi keluarga.

Menara ini pernah digunakan oleh Lembaga Perancang Keluarga Negara dan Persatuan Pengakap Teluk Intan.

Batu Bertenggek

Batu bertenggek merupakan seketul batu besar, sebesar kereta Kancil, yang diletakkan atas binaan lain berhadapan dengan bangunan SKOMK. Batu bertenggek ini merupakan Tugu Peringatan bagi perajurit yang terkorban semasa Perang Dunia Kedua.[6][7]

Lapangan Terbang Jendarata

Satu-satunya lapangan terbang di Teluk Intan, lapangan terbang persendirian ini terletak di ladang Jenderata. Lapangan ini dimiliki dan dikendalikan oleh syarikat perladangan, United Plantations yang bermula dengan pembukaan estet pada tahun 1906.

Tiada jadual penerbangan di lapangan ini. Ia digunakan oleh kapal terbang peribadi dan semua operasi memerlukan kebenaran terlebih dahulu daripada pihak syarikat.